Wednesday, June 11, 2008

Apa nak jadi dengan ustaz-ustazah hari ini?

Assalamualaikum para pembaca. Saya suka memetik kata-kata seorang ustaz di Pulau Pinang yang dalam majlis ilmunya mengatakan bahawa seseorang muslim itu wajib mempelajari tiga bidang utama di dalam ilmu islam iaitu Usuluddin, Feqah dan Tasawuf Islam bagi memantapkan diri untuk mengadap Allah S.T.W apabila meninggal dunia kelak. Hal ini adalah kerana ketiga-tiga cabang ilmu ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain.

Apa yang ingin saya fokus di sini ialah kita dapat lihat berapa banyak ustaz dan ustazah yang dilahirkan melalui institusi pengajian tinggi hari ini sama ada dari dalam atau luar negara tidak menjadi seperti seorang ustaz atau ustazah sebagaimana yang sepatutnya. Sebagai contoh kita pernah digemparkan dengan keahlian seorang ustazah didalam gerakan Ayah Pin beberapa tahun yang lalu. Kita juga sama ada sedar atau tidak pernah melihat atau mendengar perihal guru-guru agama yang terlibat dengan pelbagai gejala sosial termasuk menghisap dadah dan tidak kurang yang ditangkap kerana berkhalwat dengan seorang perempuan yang bukan daripada muhrimnya dan bermacam-macam lagi.

Apakah punca berlakunya perkara-perkara sebegini rupa malah ianya berlaku dikalangan guru-guru agama atau bakal memegang gelaran ustaz atau ustazah. Sedangkan golongan ini pun terjebak dengan gejala tidak sihat ini apatah lagi orang awam yang hanya bertaqlid dalam beragama. Saya rasa saya telah mengenal pasti salah satu sebab atau punca berlaku atau lahir golongan agama seperti ini. Hal ini adalah disebabkan sistem pembelajaran di perigkat tinggi yang tidak seimbang atau dengan kata lain tidak merangkumi ketiga-tiga cabang ilmu yang saya sebutkan tadi iaitu ilmu Usuluddin, ilmu Feqah dan ilmu Tasawuf.

Hari ini ilmu agama yang diajar di pusat-pusat pengajian tinggi diasingkan mengikut pecahan sebagai contoh jika seseorang itu mengambil bidang Syariah atau Feqah maka dia tidak akan mempelajari ilmu Usuluddin kerana ilmu-ilmu ini dipecah bahagikan mengikut subjek dan akan menjadi pilihan kepada pelajar yang akan mengambil subjek itu sahaja. Maka ilmu agama yang dipelajari ini tidak seimbang. Hal ini kerana ilmu Feqah menyentuh mengenai perundangan Islam dan tatacara dalam beibadat sedangkan ilmu Usuluddin menyentuh hal berkaitan dengan Makrifatullah iaitu mengenal Allah. Jika seseorang itu banyak ilmu dalam bidang Feqah tetapi tidak dengan sempurna dalam mengenali Allah maka kelebihan ilmu tidak akan menampung kekuatan iman.

Kita dapat lihat tokoh-tokoh ulama terdahulu yang tidak hanya menguasai satu bidang ilmu sahaja malah ada yang mengusai lebih daripada dua cabang ilmu. Disebabkan itulah tokoh-tokoh agama terdahulu hebat dari segi Akidah dan hebat dari aspek Ibadat. Saya boleh memberi jaminan hampir 70% bahkan mungkin lebih daripada itu bakal geraduan dalam bidang Syariah atau Feqah tidak memahami walaupun sifat-sifat Allah yang 20. Oleh itu saya menyeru kepada Kementerian Pengajian Tinggi agar mengkaji semula tentang sistem pembelajaran berkaitan ilmu agama di universiti-universiti agar seimbang dari segi ketiga-tiga aspek yang disebutkan tadi kemudian baru diberikan pengkhususan terhadap subjek yang ingin dikuasai oleh setiap pelajar.

Hal ini bagi memantapkan lagi kefahaman tentang ilmu-ilmu agama yang banyak ini. Sya mencadangkan agar kefahaman tentang ketiga-tiga perkara ini dimantapkan diperingkat matrikulasi yang melahirkan bakal geraduan dalam bidang agama ini. Ataupun dijadikan sistem pelajaran di universiti dari tiga tahun menjadi empat tahun supaya pada tahun pertama di beri pengkhususan didalam ketiga-tiga aspek atau cabang utama ilmu agama islam ini yakni Feqah, Usuluddin dan Tasawuf Islam kemudian baru dipecah mengikut kelebihan atau kecenderungan pelajar-pelajar terhadap cabang-cabang ilmu itu tadi. Tajamkan akal, fokuskan minda. Selamat berfikir.

No comments: