Tuesday, August 5, 2008

Inikah yang dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan.

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Gejala sosial sejak akhir-akhir ini dilihat semakin tenat seolah-olah tiada jalan penyelesaian lagi. Isu mat rempit masih lagi belum selesai, isu pembuangan bayi pula semakin bertambah. Ini menunjukkan masyarakat kita hari ini sudah biasa mengamalkan pergaulan bebas yang membawa kepada hubungan seks rambang, seks bebas serta pelacuran yang semakin hari semakin ramai bilangannya yang mula berkecimpung didalam arena yang penuh dengan dosa dan kehinaan ini. Adakah isu minyak dan rebat tunai pada hari ini menyebabkan kita lupa sejenak tentang permasalahan sosial yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini?

Perkara ini bukan berlaku dikalangan bangsa cina atau India sahaja. Tetapi peratusan menunjukkan anak-anak melayulah yang paling ramai terlibat dengan gejala tidak bermoral ini yang dibuktikan dengan adegan-adegan panas dengan tersebarnya adegan-adegan ini di telefon-telefon bimbit dan internet. Hakikatnya pada hari ini, anak-anak muda yang ingin menonton cerita-cerita lucah tidak lagi perlu membazirkan wang untuk membeli vcd-vcd lucah. Mereka hanya perlu “on kan Bluetooth” di telefon bimbit masing-masing dan muat turun video lucah secara percuma daripada rakan-rakan.

Samada sedar atau tidak, telefon bimbit yang mempunyai kamera dan “Bluetooth”lah yang menjadi punca kepada segala permasalahan sosial yang melanda negara kita pada hari ini. Kita terlampau mengejar kemajuan hinggakan kemajuan ini meragut akhlak dan dan nilai murni yang ada pada diri setiap insan seterusnya menjadikan masyarakat kita seperti tidak bertamadun lagi di dalam dunia yang tanpa sempadan ini. Kita dapat lihat suatu ketika dahulu ketika mana negara tidak lagi menggunakan teknologi telefon bimbit secara meluas, anak-anak muda “sukar” untuk memperolehi video-video lucah. Yang menonton video-video lucah pun hanyalah terdiri daripada golongan dewasa yang umurnya mencecah 20 hingga 30 tahun sahaja. Tetapi hari ini, kanak-kanak seawal sembilan tahun sudah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan hubungan seks secara menyeluruh dan ketika berusia 12 tahun sudah melakukan hubungan terlarang ini secara bebas.

Adakah kanak-kanak ini membeli video-video lucah ini di kedai-kedai? Jawapannya tidak. Mereka memperolehi video-video ini melalui telefon bimbit dan internet yang tersebar dengan mudah sekali tanpa ada sekatan. Adakah ini yang dikatakan sebagai “dunia tanpa sempadan”? sehinggakan perkara yang tidak patut diketahui oleh kanak-kanak menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka? Adakah ini yang kita mahukan daripada anak bangsa kita yang bakal menerajui tapuk pemerintahan negara suatu hari nanti.

Suatu ketika dahulu sangatlah kurangnya video-video lucah yang memaparkan adegan anak melayu, yang ada hanyalah video-video lucah daripada negara barat. Tetapi hari ini video lucah anak-anak melayu tumbuh bagaikan cendawan sehinggakan jika dibenarkan rakyat Malaysia mengusahakan penjualan video lucah maka sudah kaya-rayalah orang-orang yang mengusahakannya. Adakah video-video ini dirakam dengan menggunakan perakam video? Jawapannya sekali lagi adalah tidak. Ianya diambil atau dirakam dengan menggunakan telefon bimbit berkamera. Semuanya memaparkan video-video amatur anak melayu yang ternyata lebih mendapat sambutan hangat berbanding video-video bertaraf profesional dari negara barat.

Apakah tindakan yang patut kita ambil? Adakah dengan mengharamkan penggunaan telefon bimbit dapat menyelesaikan masalah ini? Cara ini memang dapat menyelesaikan masalah ini. Tetapi akan timbul pula masalah bagi pihak syarikat yang menjual telefon bimbit. Akan timbul juga masalah dikalangan pengguna-pengguna jujur teknologi ini. Jadi bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini? Jawapannya ada pada ibu bapa. Ibu bapalah yang patut memainkan peranan penting iaitu dengan memeriksa telefon bimbit anak-anak agar anak-anak tidak menyimpan sebarang cerita atau gambar-gambar yang tidak bermoral ini agar mereka tidak terpengaruh dan seterusnya ingin mencuba setiap adegan yang ditonton.

Tapi persoalannya di sini adakah ibu bapa akan percaya jika anak yang mereka besarkan dan mereka asuh dengan penuh kasih sayang akan menyimpan dan menonton video-video seperti ini. Jawapannya bukan ada pada sangkaan kita, tetapi ada pada telefon anak-anak kita. Jadi, tajamkanlah akal dan fokuskan minda anda. Selamat berfikir wahai ibu dan bapa sekalian.

Friday, June 13, 2008

Lagi cerita ustaz-ustazah....

Dalam artikel saya yang pertama banyak menyebut tentang ustaz-ustazah atau yang bakal tergolong dalam golongan ini menjadi insan yang tidak sekufu dengan namanya atau gelaran mereka sebagai mu’allim. Dalam artikel ini pula saya ingin menyentuh lagi perihal golongan ini yang sememangnya tidak akan selesai sehingga akhir zaman kerana Islam merupakan agama bagi setiap zaman, dan pada setiap zaman pasti timbul masalah didalam beragama.

Apa yang ingin saya sentuh disini adalah berkaitan dengan perihal sesetengah golongan Islam yang terlalu fanatik sehingga lupa pada landasan sebenar dalam beragama. Suka saya kaitkan sedikit disini dengan perihal politik negara yang kian meruncing. Kita dapat lihat bertapa orang melayu hari ini semakin berpecah-belah. Kenapa terjadinya perkara seperti ini? Tidakkah kita terfikir berpecahnya orang-orang melayu ini adalah disebabkan perbuatan dan tindakan orang melayu sendiri?

Pertamanya sudah tentulah kesilapan perdana menteri yang dipersoalkan yakni Pak Lah yang hanya menurut telunjuk anak menantunya yang sememangnya dikenali sebagai perosak bangsa. Siapa lagi kalau bukan si “KJ” yang semakin meningkat naik tanpa hala tuju. Walaubagaimanapun kita tidak boleh meletakkan seratus peratus kesalahan terhadap perdana menteri kita ini. Tidak bersalahkah Pas yang selalu mencanangkan keburukan UMNO di Masjid-masjid dan surau-surau? Tidakkah dengan mencanangkan keburukan ini akan membawa perpecahan di kalangan orang melayu sehingga ada di sesetengah tempat jika majlis kenduri diadakan oleh ahli UMNO ahli pas tidak hadir begitu juga sebaliknya. Bukan sahaja Majlis kenduri bahkan membawa kepada menziarahi mayat dan orang sakit.

Tidakkah ini dituntut oeh islam kerana Islam menuntut pengnutnya saling ziarah-menziarahi.Adakah kita merasa bangga apabila kita berceramah demi merobohkan tembok penyatuan melayu sejagat justeru membawa kepada kehancuran Islam tanpa kita sedari? Adakah kita puas apabila kita berjaya didalam politik sambil kita perdagangkan bangsa kita sendiri? Ini baru membicarakan bab kesatuan melayu sejagat. Belum lagi disentuh perkara ini mengikut aspek hukum syarak tentang hal-hal berkaitan.

InsyaAllah pada nukilan yang seterusnya saya akan menguraikan perkara-perkara yang kita sendiri tak terfikir mungkin, tidak kira parti maupun jawatan. Semuanya akan saya cuba kupaskan dengan sebaik-baiknya agar kita faham tentang tujua sebenar kita dihidupkan oleh Allah S.W.T di muka bumi ini. Jadi tajamkan akal, fokuskan minda. Selamat berfikir.

Wednesday, June 11, 2008

Apa nak jadi dengan ustaz-ustazah hari ini?

Assalamualaikum para pembaca. Saya suka memetik kata-kata seorang ustaz di Pulau Pinang yang dalam majlis ilmunya mengatakan bahawa seseorang muslim itu wajib mempelajari tiga bidang utama di dalam ilmu islam iaitu Usuluddin, Feqah dan Tasawuf Islam bagi memantapkan diri untuk mengadap Allah S.T.W apabila meninggal dunia kelak. Hal ini adalah kerana ketiga-tiga cabang ilmu ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain.

Apa yang ingin saya fokus di sini ialah kita dapat lihat berapa banyak ustaz dan ustazah yang dilahirkan melalui institusi pengajian tinggi hari ini sama ada dari dalam atau luar negara tidak menjadi seperti seorang ustaz atau ustazah sebagaimana yang sepatutnya. Sebagai contoh kita pernah digemparkan dengan keahlian seorang ustazah didalam gerakan Ayah Pin beberapa tahun yang lalu. Kita juga sama ada sedar atau tidak pernah melihat atau mendengar perihal guru-guru agama yang terlibat dengan pelbagai gejala sosial termasuk menghisap dadah dan tidak kurang yang ditangkap kerana berkhalwat dengan seorang perempuan yang bukan daripada muhrimnya dan bermacam-macam lagi.

Apakah punca berlakunya perkara-perkara sebegini rupa malah ianya berlaku dikalangan guru-guru agama atau bakal memegang gelaran ustaz atau ustazah. Sedangkan golongan ini pun terjebak dengan gejala tidak sihat ini apatah lagi orang awam yang hanya bertaqlid dalam beragama. Saya rasa saya telah mengenal pasti salah satu sebab atau punca berlaku atau lahir golongan agama seperti ini. Hal ini adalah disebabkan sistem pembelajaran di perigkat tinggi yang tidak seimbang atau dengan kata lain tidak merangkumi ketiga-tiga cabang ilmu yang saya sebutkan tadi iaitu ilmu Usuluddin, ilmu Feqah dan ilmu Tasawuf.

Hari ini ilmu agama yang diajar di pusat-pusat pengajian tinggi diasingkan mengikut pecahan sebagai contoh jika seseorang itu mengambil bidang Syariah atau Feqah maka dia tidak akan mempelajari ilmu Usuluddin kerana ilmu-ilmu ini dipecah bahagikan mengikut subjek dan akan menjadi pilihan kepada pelajar yang akan mengambil subjek itu sahaja. Maka ilmu agama yang dipelajari ini tidak seimbang. Hal ini kerana ilmu Feqah menyentuh mengenai perundangan Islam dan tatacara dalam beibadat sedangkan ilmu Usuluddin menyentuh hal berkaitan dengan Makrifatullah iaitu mengenal Allah. Jika seseorang itu banyak ilmu dalam bidang Feqah tetapi tidak dengan sempurna dalam mengenali Allah maka kelebihan ilmu tidak akan menampung kekuatan iman.

Kita dapat lihat tokoh-tokoh ulama terdahulu yang tidak hanya menguasai satu bidang ilmu sahaja malah ada yang mengusai lebih daripada dua cabang ilmu. Disebabkan itulah tokoh-tokoh agama terdahulu hebat dari segi Akidah dan hebat dari aspek Ibadat. Saya boleh memberi jaminan hampir 70% bahkan mungkin lebih daripada itu bakal geraduan dalam bidang Syariah atau Feqah tidak memahami walaupun sifat-sifat Allah yang 20. Oleh itu saya menyeru kepada Kementerian Pengajian Tinggi agar mengkaji semula tentang sistem pembelajaran berkaitan ilmu agama di universiti-universiti agar seimbang dari segi ketiga-tiga aspek yang disebutkan tadi kemudian baru diberikan pengkhususan terhadap subjek yang ingin dikuasai oleh setiap pelajar.

Hal ini bagi memantapkan lagi kefahaman tentang ilmu-ilmu agama yang banyak ini. Sya mencadangkan agar kefahaman tentang ketiga-tiga perkara ini dimantapkan diperingkat matrikulasi yang melahirkan bakal geraduan dalam bidang agama ini. Ataupun dijadikan sistem pelajaran di universiti dari tiga tahun menjadi empat tahun supaya pada tahun pertama di beri pengkhususan didalam ketiga-tiga aspek atau cabang utama ilmu agama islam ini yakni Feqah, Usuluddin dan Tasawuf Islam kemudian baru dipecah mengikut kelebihan atau kecenderungan pelajar-pelajar terhadap cabang-cabang ilmu itu tadi. Tajamkan akal, fokuskan minda. Selamat berfikir.