Tuesday, August 5, 2008

Inikah yang dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan.

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Gejala sosial sejak akhir-akhir ini dilihat semakin tenat seolah-olah tiada jalan penyelesaian lagi. Isu mat rempit masih lagi belum selesai, isu pembuangan bayi pula semakin bertambah. Ini menunjukkan masyarakat kita hari ini sudah biasa mengamalkan pergaulan bebas yang membawa kepada hubungan seks rambang, seks bebas serta pelacuran yang semakin hari semakin ramai bilangannya yang mula berkecimpung didalam arena yang penuh dengan dosa dan kehinaan ini. Adakah isu minyak dan rebat tunai pada hari ini menyebabkan kita lupa sejenak tentang permasalahan sosial yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini?

Perkara ini bukan berlaku dikalangan bangsa cina atau India sahaja. Tetapi peratusan menunjukkan anak-anak melayulah yang paling ramai terlibat dengan gejala tidak bermoral ini yang dibuktikan dengan adegan-adegan panas dengan tersebarnya adegan-adegan ini di telefon-telefon bimbit dan internet. Hakikatnya pada hari ini, anak-anak muda yang ingin menonton cerita-cerita lucah tidak lagi perlu membazirkan wang untuk membeli vcd-vcd lucah. Mereka hanya perlu “on kan Bluetooth” di telefon bimbit masing-masing dan muat turun video lucah secara percuma daripada rakan-rakan.

Samada sedar atau tidak, telefon bimbit yang mempunyai kamera dan “Bluetooth”lah yang menjadi punca kepada segala permasalahan sosial yang melanda negara kita pada hari ini. Kita terlampau mengejar kemajuan hinggakan kemajuan ini meragut akhlak dan dan nilai murni yang ada pada diri setiap insan seterusnya menjadikan masyarakat kita seperti tidak bertamadun lagi di dalam dunia yang tanpa sempadan ini. Kita dapat lihat suatu ketika dahulu ketika mana negara tidak lagi menggunakan teknologi telefon bimbit secara meluas, anak-anak muda “sukar” untuk memperolehi video-video lucah. Yang menonton video-video lucah pun hanyalah terdiri daripada golongan dewasa yang umurnya mencecah 20 hingga 30 tahun sahaja. Tetapi hari ini, kanak-kanak seawal sembilan tahun sudah mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan hubungan seks secara menyeluruh dan ketika berusia 12 tahun sudah melakukan hubungan terlarang ini secara bebas.

Adakah kanak-kanak ini membeli video-video lucah ini di kedai-kedai? Jawapannya tidak. Mereka memperolehi video-video ini melalui telefon bimbit dan internet yang tersebar dengan mudah sekali tanpa ada sekatan. Adakah ini yang dikatakan sebagai “dunia tanpa sempadan”? sehinggakan perkara yang tidak patut diketahui oleh kanak-kanak menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka? Adakah ini yang kita mahukan daripada anak bangsa kita yang bakal menerajui tapuk pemerintahan negara suatu hari nanti.

Suatu ketika dahulu sangatlah kurangnya video-video lucah yang memaparkan adegan anak melayu, yang ada hanyalah video-video lucah daripada negara barat. Tetapi hari ini video lucah anak-anak melayu tumbuh bagaikan cendawan sehinggakan jika dibenarkan rakyat Malaysia mengusahakan penjualan video lucah maka sudah kaya-rayalah orang-orang yang mengusahakannya. Adakah video-video ini dirakam dengan menggunakan perakam video? Jawapannya sekali lagi adalah tidak. Ianya diambil atau dirakam dengan menggunakan telefon bimbit berkamera. Semuanya memaparkan video-video amatur anak melayu yang ternyata lebih mendapat sambutan hangat berbanding video-video bertaraf profesional dari negara barat.

Apakah tindakan yang patut kita ambil? Adakah dengan mengharamkan penggunaan telefon bimbit dapat menyelesaikan masalah ini? Cara ini memang dapat menyelesaikan masalah ini. Tetapi akan timbul pula masalah bagi pihak syarikat yang menjual telefon bimbit. Akan timbul juga masalah dikalangan pengguna-pengguna jujur teknologi ini. Jadi bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini? Jawapannya ada pada ibu bapa. Ibu bapalah yang patut memainkan peranan penting iaitu dengan memeriksa telefon bimbit anak-anak agar anak-anak tidak menyimpan sebarang cerita atau gambar-gambar yang tidak bermoral ini agar mereka tidak terpengaruh dan seterusnya ingin mencuba setiap adegan yang ditonton.

Tapi persoalannya di sini adakah ibu bapa akan percaya jika anak yang mereka besarkan dan mereka asuh dengan penuh kasih sayang akan menyimpan dan menonton video-video seperti ini. Jawapannya bukan ada pada sangkaan kita, tetapi ada pada telefon anak-anak kita. Jadi, tajamkanlah akal dan fokuskan minda anda. Selamat berfikir wahai ibu dan bapa sekalian.

No comments: